Kalau Engkau Mahu Berfikir


Pagi-pagi engkau keluar rumah, untuk tugas harian

Mula-mula sekali bumi (tanah) yang engkau pijak

Itulah dia kejadian engkau yang pertama

Kejadian engkau yang kedua lebih lagi hinanya

Kalau engkau orang yang insaf, engkau malu dengan diri engkau

Sombong engkau sudah tentu hilang

Engkau pun merendah diri di muka bumi Tuhan

Apabila engkau berhadapan dengan makanan yang sedang dihidang

Makanan dan lauk-pauknya pula berbagai-bagai jenisnya

Ada sayur, ada ikan, ada daging bukan engkau yang mengusahakannya

Engkau hanya memilih bahan mentahnya

Kalau mata hati engkau celik

Engkau akan terasa wah ramai sungguh orang yang memberi khidmat kepada engkau

Sama ada engkau sedar ataupun tidak, kenal atau sebaliknya

Secara langsung mahupun secara tidak langsung

Biasanya mereka itu adalah buruh-buruh, nelayan-nelayan dan tenaga orang susah

Engkau akan terasa sedih waktu hendak makan

Pasti engkau akan simpati kepada mereka itu

Jangan-jangan mereka tidak pun memakan seperti yang engkau memakan makanan yang sedap-sedap itu

Padahal merekalah yang menghasilkan semua itu

Tentulah engkau akan sentiasa mengambil berat mereka-mereka yang miskin dan susah

Kerana mereka setiap hari memberi khidmat kepada engkau

Begitulah seterusnya setiap apa sahaja yang engkau gunakan, miliki dan pakai

Berapa ramai pula yang terlibat menjayakannya

Lagilah ramai orang yang telah berjasa kepada engkau

Apakah engkau boleh berfikir semacam ini?!

Kalau engkau berfikir semacam ini

Engkau tidak akan sombong, pasti engkau merendah diri

Kalau engkau boleh berfikir semacam ini

Sudah pasti engkau sentiasa simpati dengan golongan yang susah

Engkau tidak akan menghina mereka

Tapi engkau tidak berfikir semacam ini

Maka engkau pun sombong, dan fakir miskin engkau tidak peduli

oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi